Saturday, August 7, 2010

MINGGU 4 : JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya tujukan terutama buat Encik Amran dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Alhamdulillah, kita telah pun selesai untuk sesi pembelajaran pada minggu ke empat. Pada minggu ini, kita diperkenalkan pula dengan tajuk 'Wayang Kulit'. Saya adalah anak jati Kelantan, jadi tajuk ini amat menarik tumpuan saya. Sejak dari kecil, saya mengenali permainan wayang kulit ini walaupun tidak secara keseluruhan. Dari pengalaman saya, saya pernah menonton wayang kulit ini ketika permainan wayang ini diadakan di Kota Bharu. Mulanya saya berpendapat wayang kulit amat membosankan, tetapi dengan desakan ayah dan ibu, saya menonton persembahan wayang kulit tersebut. Ternyata apa yang dikata oleh kedua ibu bapa saya tidak dapat disangkal lagi. Saya ketawa sepanjang wayang kulit itu dimainkan. Cerita yang dimainkan adalah tentang isu semasa ataupun kehidupan masyarakat biasa. pada waktu itu, saya masih belum mengenali permainan muzik tradisional, jadi bila saya fikirkan kembali, muzik itu dimainkan oleh alat muzik gamelan dan serunai adalah alat muzik yang wajib.

Jika sebelum ini saya hanya mengenali apa itu wayang kulit, tetapi sekarang saya baru mngetahui yang wayang kulit bukan hanya di kelantan. Malah, wayang kulit ini ada perbezaannya mengikut tempat tersebut. Pada minggu ini, kami didedahkan dengan jenis wayang kulit, alat-alat muzik wayang kulit dan perbezaan antara wayang kulit. Wayang kulit merupakan teater tradisional kuno Malaysia dimana pengkisahan Dalang dan bayang-bayang patung di atas kelir. Muzik wayang kulit ini dimainkan oleh ochestra tertentu dengan mengiringi gerak geri wayang. Lagu yang dimainkan adalah mengikut jalan cerita yang dipersembahkan. menurut Otto Spies, Sabri East Siyavusgil dan William Ridgeway, wayang kulit ini berasal dari India. Manakala, Berthold Laufer berpendapat wayang kulit berasal dari cina iaitu semasa zaman maharaja Han Wu Ti (121 s.m).

Seni Muzik wayang kulit ini amat unik dan memerlukan keahlian khusus. Dalang dan panjaknya harus menghafal lebih dari 35 buah lagu. Dalang juga harus mahir dalam hikayat-hikayat contohnya bersifat Paramakawi dan Pramasastra. Sebagai seorang Dalang, dia seharusnya pandai melakonkan cerita supaya menarik, pandai dalam membawa suasana gembira, takut, kasih, sayang, sedih, garang dan lucu. Cerita wayang kulit juga memberi pengajaran dari segi agama dan moral. Oleh itu, kewibawaan seorang Dalang sangat-sangat di pelihara utuh dan menjadi tauladan dan ikutan kepada masyarakat. Patung wayang kulit adalah satu keseniaan khusus yang mempunyai kemahiran dan kesabaran yang tinggi. Itulah kehebatan kesenian wayang kulit.

Wayang Kulit mempunyai empat jenis iaitu Wayang Kulit Jawa, Wayang Gedek, Wayang Kulit Melayu dan Wayang Kulit Kelantan. Wayang kulit jawa juga dikenali sebagai wayang Purma dan berasal dari Indonesia. Wayang ini dipersembahkan oleh orang keturunan Jawa di Johor dan Selangor. Wayang kulit Johor ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purma asli contohnya epik Ramayana dan Mahabrata). Wayang kulit ini diiringi oleh muzik gamelan. Secara keseluruhanya, wayang kulit jawa juga terdiri dari pemuzik dan penyanyi, kedua-dua sendi patung wayang kulit jawa bergerak, kedudukannya mengiring, ia mengekalkan ciri asal perpakaian dan alat muzik yang digunakan adalah set gamelan jawa. Wayang Gedek pula berasal dari pengaruh Siam, satu sendi sahaja yang bergerak, kedudukan mengadap, mengekalkan ciri asal perpakaian dan alat muzik yang digunakan ialah serunai, geduk, gedombak, canang, kesi kecil dan Cing. Manakala, wayang kulit melayu pula berasal dari pengaruh jawa, kedua-dua sendi bergerak, kedudukannya mengiring, masih mengekalkan ciri asal berpakaian dan alat muzik yang digunakan ialah gong, canang, mong, kesi, gendang dan rebab. Wayang kulit kelantan juga adalah wayang kulit yang popular. Ia berasal dari pengaruh Siam, satu sendi sahaja yang bergerak, kedudukan mengiringi, mengekalkan ciri asal perpakaian dan alat muzik pula ialah tetawak (gong), canang, kesi, gendang, geduk, gedombak, mong, serunai dan pemetek.

Secara keseluruhannya, wayang kulit mempunyai kesenian dan keunikan yang tersendiri. Semakin mendalami tentang wayang kulit ini, semakin banyak benda yang menarik perhatian dan membuatkan saya ingin sekali lagi melihat wayang kulit secara lansung. Semoga kita sama-sama menjaga warisan kita yang amat unik dan istimewa dan bukan hanya tahu membanggakan warisan orang lain semata-mata. Sekian, terima kasih.

0 comments:

Post a Comment

 

My Blog List

Blog Pelajar Kumpulan A

My Blog List

Blog Pelajar Kumpulan B

blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 NADIA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template